Tuesday, July 21, 2009

Empat prinsip yang diperlukan untuk mengalami kuasa ini


Empat prinsip yang diperlukan untuk mengalami kuasa ini.

Mengalami Kuasa untuk Berubah:
Kuasa untuk Berubah adalah tentang satu hal saja: mengenali Yesus. Empat prinsip berikut menerangkan bagaimana seseorang boleh memulakan hubungan dengan Tuhan Yesus dan benar-benar mengalami kuasa Tuhan untuk berubah.

Prinsip 1:
Tuhan mengasihi anda dan menawarkan satu rancangan yang istimewa untuk hidup anda

Tuhan mencipta anda. Bahkan Dia begitu mengasihi anda sehingga Dia ingin anda bersama Dia untuk selama-lamanya. Yesus berkata, "Tuhan sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal" (Yohanes 3:16).

Yesus datang supaya setiap kita dapat mengenali dan memahami Tuhan secara peribadi. Hanya Yesus dapat memberikan kita makna dan tujuan dalam hidup.

Oleh itu, apakah yang menghalang kita daripada mengenali Tuhan?


Prinsip 2:
Manusa berdosa dan terpisah daripada Tuhan. Oleh itu, dia tidak boleh mengetahui dan mengalami kasih dan rancangan Tuhan untuk hidupnya.

Kita memerlukan Yesus. Alkitab mengatakan, "...semua orang sudah berdosa dan jauh daripada kemuliaan Tuhan" (Roma 3:23b). Walaupun Tuhan ingin kita menikmati persekutuan dengan-Nya, kita memilih jalan yang tersendiri. Kita degil, mementingkan diri, dan kerap-kali tidak dapat menepati janji kita. Betapapun kita mencuba dengan sedaya-upaya kita, kita tetap tersandung.

Menurut Alkitab, kekerasan hati ini sama ada dalam bentuk sikap memberontak ataupun sikap tidak peduli adalah dosa -- secara harfiah bermakna "tidak mencapai taraf."

Alkitab megatakan bahawa kematian adalah upah dosa--perpisahan rohani daripada Tuhan (Roma 6:23). Walaupun kita cuba dengan sedaya-upayanya untuk mencari Tuhan, akhirnya kita gagal juga. Kita tetap tidak cukup baik menurut piawaian Tuhan.

Gambarajah ini menunjukkan jurang yang memisahkan kita dengan Tuhan. Anak-anak panah menunjukkan bahawa kita cuba untuk mencari Tuhan dan hidup yang berkelimpahan melalui usaha kita sendiri.
Kita mungkin cuba berbuat baik atau mengikut sesuatu falsafah baru--tetapi semua ini tidak berhasil.

Prinsip ketiga menjelaskan jalan tunggal untuk menjambatani jurang ini...

Prinsip 3:
Yesus Kristuslah satu-satunya jalan yang Tuhan berikan untuk menyelesaikan masalah dosa manusia. Melalui-Nya anda boleh mengetahui dan mengalami kasih dan rancangan Tuhan untuk hidup anda.

Yesus Kristuslah penyelesaian Tuhan bagi masalah ketidaksempurnaan dan kejahatan manusia. Kerana kematian Yesus di atas kayu salib, kita tidak perlu dipisahkan daripada Tuhan lagi. Yesus telah menanggung upah (hukuman) dosa kita dan oleh itu menjambatani jurang antara kita dengan Tuhan.

Kita hanya perlu menerima Yesus dan pengorbanan-Nya sebagai satu-satunya jalan kepada Tuhan, dan bukan lagi mencuba dengan usaha sendiri untuk mencari Tuhan. Yesus mengatakan, "Akulah jalan untuk mengenal Tuhan dan untuk mendapat hidup. Tidak seorang pun dapat datang kepada Bapa kecuali melalui Aku" (Yohanes 14:6). Dia juga mengatakan, "Akulah yang membangkitkan orang mati dan yang memberi hidup. Sesiapa yang percaya pada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati. Orang yang hidup dan percaya kepada-Ku tidak akan mati selama-lamanya." (Yohanes 11:25-26).

Tetapi Yesus bukan saja mati kerana dosa kita, Dia juga bangkit dari kematian (1 Korintus 15:3-6). Tanpa sebarang keraguan, Dia membuktikan bahawa Dia memang boleh menjanjikan kita hidup sejati dan kekal--bahawa Dialah Anak Tuhan dan jalan tunggal untuk mengenali Tuhan.

Hanya mengetahui rancangan dan matlamat Tuhan adalah tidak mencukupi. Kita perlu menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat kita dari hukuman dosa dengan mengundang-Nya masuk ke dalam hidup kita.

Hanya mengetahui ketiga-tiga kebenaran ini adalah tidak mencukupi...

Prinsip 4:
Kita mesti menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat kita secara peribadi. Dengan demikian, kita boleh mengetahui dan mengalami kasih dan rancangan Tuhan untuk hidup kita.
Alkitab mengatakan, "Tetapi kepada mereka yang menyambut Dia dan percaya kepada-Nya, mereka diberi-Nya hak menjadi anak Tuhan" (Yohanes 1:12).

Kita menerima Yesus melalui iman. Alkitab mengatakan, "Dengan rahmat Tuhanlah anda diselamatkan oleh sebab anda percaya kepada Yesus. Penyelamatan itu bukan hasil usaha anda sendiri, melainkan kurnia Tuhan. Oleh itu anda tidak mempunyai alasan untuk bercakap besar tentang hal itu" (Efesus 2:8-9).

Menerima Yesus bermakna kita harus percaya bahawa Yesus adalah seperti yang Dia sendiri nyatakan, kemudian mengundang-Nya untuk menguasai hidup kita dan menjadikan kita orang baru (Yohanes 3:1-8).

Yesus mengatakan, "Dengarlah! Aku berdiri di depan pintu dan mengetuk. Jika seseorang mendengar suara-Ku dan membuka pintu, Aku akan masuk ke dalam" (Wahyu 3:20).

Apakah respons anda terhadap undangan Tuhan? Apakah anda akan lakukan setelah mengetahui pernyataan Yesus Kristus?

Sila pertimbangkan kedua-dua bulatan berikut.

Hidup yang dikuasai Si-Aku:

Aku bertakhta dalam hidup
Yesus di luar hidup
Semua keinginan dikuasai oleh diri sendiri, selalunya menghasilkan kekecewaan

Hidup yang dikuasai Kristus:
Kristus bertakhta dalam hidup
Aku menyerah kepada Kristus
Semua keinginan dikuasai oleh Yesus, yang menghasilkan keharmonian dengan Tuhan

Bulatan manakah yang mencerminkan hidup anda?
Bulatan manakah yang anda ingin mencerminkan hidup anda?

Berikut menjelaskan bagaimanakah anda boleh memulakan hubungan dengan Yesus...

Mengenali Yesus Secara Peribadi:
Membuat keputusan untuk membiarkan Tuhan menjadikan anda seorang peribadi mengikut kehendak-Nya adalah keputusan terpenting dalam hidup anda. Hanya bersetuju bahawa Yesus ialah Anak Tuhan dan Dia mati di atas salib kerana dosa kita adalah tidak mencukupi, kita perlu membuat komitmen peribadi.

Kita membuat komitmen dengan kembali kepada Tuhan, bertaubat, percaya yang dia akan masuk ke dalam hidup kita, dan meminta dia menjadikan kita peribadi mengikut kehendak-Nya. Ini berkaitan dengan iman. Ini merupakan suatu tindakan nekad. Jika anda bersedia untuk mengambil langkah ini, anda hanya perlu mennyatakannya kepada Tuhan.

Ingat, Tuhan mengetahui isi hati anda. Oleh itu Dia lebih mementingkan sikap hati anda daripada kata-kata anda. Jika anda tidak pasti apa yang harus anda katakan kepada Dia, itu tidak mengapa. Berikut merupakan satu contoh doa yang anda boleh ikuti:

"Yesus, saya ingin mengenali Engkau secara peribadi. Terima kasih kerana mati di atas salib untuk mengampunkan dosa-dosa saya. Saya ingin Engkau masuk ke dalam hidup saya kerana hanya Engkau yang dapat memberikan saya kuasa untuk berubah dan menyelamatkan saya daripada perpisahan dengan Tuhan selama-lamanya. Terima kasih kerana memberikan saya hidup sejati dan kekal bersama dengan Tuhan. Kuasailah hidup saya. Jadikanlah saya seorang peribadi mengikut kehendak-Mu. Amin!"

Apabila anda menerima apa yang Yesus telah lakukan, anda menjadi seorang anak Tuhan dan semua dosa anda telah diampunkan. Yesus berjanji bahawa jika anda menerima-Nya anda akan hidup selama-lamanya di sebuah tempat yang Tuhan telah sediakan bagi anda.

Jika anda mengucapkan doa di atas dan mengundang Yesus masuk ke dalam hidup anda, anda telah menjadi seorang Kristian. Perkataan "Kristian" bererti "Kristus berada di dalam hidup seseorang" -- Kristus hidup di dalam diri anda.

Sila isikan borang berikut untuk memberitahu kami bahawa anda telah mengundang Yesus ke dalam hidup anda, agar kami dapat menjawab apa-apa soalan yang anda ingin kemukakan dan membantu anda bertumbuh secara rohani.

Di bahagian selanjutnya: "Cara untuk Bertumbuh", anda akan dapati beberapa pelajaran ringkas untuk membantu anda memahami lebih lanjut lagi tentang apa maknanya menjadi seorang pengikut Yesus atau seorang Kristian.

No comments:

Post a Comment