Lelaki kapak ibu di beranda rumah
Oleh Rosli Abdul Jalil
bhnews@bharian.com.my
2010/11/10
Suspek dipercayai penagih dadah ditahan
PEKAN: Seorang ibu mati ditetak di kepala oleh anak lelakinya berusia 23 tahun ketika sedang mengangkat kain jemuran di beranda rumahnya di Felda Chini Timur 1, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian pada jam 10.30 malam, mangsa, Che Wa Isa, 57, ditetak dengan kapak oleh anak lelakinya yang dipercayai penagih dadah.
Akibat tetakan itu, mangsa rebah di depan rumah, manakala suspek terus beredar dari tempat kejadian dengan memegang kapak.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahya Othman yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Klinik Kesihatan berhampiran.
Katanya, polis menahan suspek di sebuah pondok yang terletak 100 meter dari lokasi kejadian, malam kelmarin.
“Kita turut menemui sebilah kapak pemotong sawit yang dipercayai digunakan suspek untuk menetak kepala ibunya.
“Ujian air kencing turut mendapati suspek positif ganja,” katanya di sini, semalam.
Yahya berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai gemar membaca buku berkaitan makhluk halus dan dikatakan percaya ibunya sudah lama mati dan yang tinggal dalam jasad ibunya hanyalah saka dan santau.
Beliau berkata, ketika kejadian, suami mangsa, Halim Ismail, 58, sedang memberi makan cucunya berusia tiga tahun dalam rumah dan mendengar bunyi seperti benda terjatuh diikuti dengan laungan ‘Allahuakbar’.
“Selepas 10 minit kemudian, suami mangsa keluar ke depan rumah dan terkejut melihat mangsa terbaring dan bajunya dipenuhi darah,” katanya.
“Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan,” katanya sambil memaklumkan laporan bedah siasat turut mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat pendarahan teruk pada kepala.
Sementara itu, Halim yang ditemui berkata, beliau sama sekali tidak menyangka kejadian itu kerana menyifatkan anaknya seorang pendiam, baik serta tidak pernah meninggalkan solat.
Malah, katanya, suspek yang juga anak ketiga daripada empat beradik seorang yang rajin dan sering membantunya di kebun sawit.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment